Mayat kanak-kanak ditemukan reput, berbau busuk - Utusan Malaysia

Mayat kanak-kanak ditemukan reput, berbau busuk

ANGGOTA bomba dan polis mengeluarkan mayat seorang kanak-kanak yang ditemukan dalam keadaan reput dan berbau busuk di Kampung Desa Makmur, Johor Bahru, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mayat kanak-kanak ditemukan dalam keadaan reput dan berbau busuk di kawasan semak dalam sebatang sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu oleh orang awam pada pukul 10.43 pagi.

Katanya, sehubungan itu seramai enam anggota diketuai Komander Operasi dari BBP Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azharin Abd. Aziz dan sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian. Jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana keadaannya sudah reput namun dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun.

“Sebahagian daripada tubuh mayat kanak-kanak itu mungkin sudah dimakan haiwan, sama ada ikan atau biawak kerana rambutnya sudah tiada, belakang tengkorak pecah dan otaknya juga sudah tiada.

“Berdasarkan siasatan awal, kita jangka kanak-kanak berkenaan sudah meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Shamsul Komari, mayat kanak-kanak itu dikeluarkan anggota bomba pada kedudukan kira-kira 1.5 meter daripada tebing sungai berkenaan.

“Penemuan penemuan mayat kanak-kanak itu sedikit menghairankan kerana sebelum ini kami tidak menerima sebarang aduan melibatkan budak hilang atau lemas dalam sungai,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung penemuan mayat kanak-kanak itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita juga sedang menyiasat jantina dan latar belakang mayat kanak-kanak berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya