Mangsa PATI hilang kekal 16 orang - Utusan Malaysia

Mangsa PATI hilang kekal 16 orang

INILAH bot yang membawa 50 penumpang pendatang asing yang dijumpai di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tiada sebarang petunjuk mahupun sebarang penemuan baharu membabitkan kira-kira 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai hilang dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini dua minggu lalu.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya tentang nasib mereka kerana nelayan mahupun komuniti maritim lain yang berada di sekitar kawasan tragedi turut tidak menemukan apa-apa petanda berkaitan sehingga ke hari ini.

Dalam tragedi itu, mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 50 migran yang berasal dari Indonesia yang dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, misi pencarian baki 16 orang mangsa diteruskan oleh aset agensi itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan setiap hari.

“Namun, sehingga kini, tiada penemuan dan petunjuk baharu dijumpai dan jumlah mangsa yang hilang kekal 16 orang.

“Bagaimanapun, operasi itu tetap juga diteruskan selain kita meminta kerjasama komuniti maritim seperti nelayan, syarikat perkapalan, pengusaha feri dan bot untuk segera melaporkan sekiranya menemukan sesuatu yang mungkin berkaitan dengan tragedi itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 15 Disember lalu, sebuah bot pancung terbalik akibat cuaca buruk ketika menghampiri kawasan daratan berhampiran Pantai Tanjung Balau dipercayai untuk menurunkan kesemua PATI terbabit kira-kira pukul 4.30 pagi.

Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) milik Maritim Malaysia mengesan terlebih dahulu kehadiran bot terbabit kira-kira pukul 2 pagi, namun, disebabkan cuaca buruk, pengesanan awal yang dilakukan terputus sekali gus menyebabkan mereka berjaya meloloskan diri.

Malah, bot yang difahamkan sepatutnya mendaratkan PATI di Kampung Tengah mengubah haluan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa dan menuju ke arah Tanjung Balau yang terletak dua hingga tiga kilometer dari lokasi asal.

Selain 16 mangsa yang masih hilang, tragedi itu meragut 21 nyawa PATI yang lemas termasuk seorang yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, manakala 13 yang lain terselamat.

Operasi yang berjalan selama lima hari untuk mengesan baki mangsa melibatkan pelbagai agensi berpusat di pusat pangkalan hadapan di Pantai Tanjung Balau turut ditutup selepas pasukan penyelamat menemui jalan buntu ekoran tiada penemuan mayat baharu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya