Mangsa bersyukur bantuan tetap sampai - Utusan Malaysia

Mangsa bersyukur bantuan tetap sampai

ROSLEN Abd. Razak mengemas rumahnya di Taman Sri Muda, Shah Alam yang dinaiki air baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Tak apa lambat, asal sampai,”

Demikian maklumbalas penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini bersyukur akhirnya menerima pelbagai bantuan daripada pihak berkuasa kerajaan yang datang menghulurkan bekalan makanan termasuk barangan kering.

Rata-rata penduduk di sana memaklumkan mereka tidak menerima bantuan pada hari pertama banjir sehingga ada yang terpaksa berlapar sehingga dua hari.

Tetapi dalam masa sama ada bot daripada jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian akhirnya masuk ke kawasan perumahan berkenaan untuk memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut penduduk di Pangsapuri Kos Rendah Jalan 25/83, Roslen Abd. Razak, 60, memang dia menunggu bantuan ketika ketika hari pertama banjir pada hari Sabtu lalu, namun tidak berharap dipindahkan ke PPS.

“Saya tinggal dekat rumah anak di tingkat atas, tak mahu tinggal di PPS kerana bimbang, sementara pihak berkuasa yang sampai dengan bot pun faham kami tak mahu pindah.

“Malah mereka kemudian datang kembali untuk hantar makanan, jadi sekarang makanan sudah terlalu banyak pula, tetapi boleh disimpan untuk petang dan malam, tak apalah lambat yang penting sudah selamat,” katanya.

Turut berkongsi situasi sama ialah Rani Subramaniam, 56, tinggal di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, yang memberitahu akhirnya dapat berpindah ke tempat selamat selepas kawasan rumahnya dilanda banjir.

“Saya memang hendak pindah sebab bimbang jika banjir berlarutan kebetulan pula kelmarin dan semalam tiba-tiba hujan, lagilah saya risau dengan anak-anak lagi. Mungkin mereka utamakan warga emas dan kanak-kanak.

“Tetapi dapat sampai ke PPS pun sudah bersyukur sebab ada bantuan makanan, perubatan dan macam-macam lagi yang diperlukan sementara menunggu keadaan betul-betul reda dan dibenarkan pulang,” ujarnya.

Sementara itu, Sharifah Mazli, 39, memberitahu, dia baharu tahu mengenai pemberian bantuan RM1,000 daripada kerajaan dan berharap bantuan itu segera diberikan kerana sememangnya mereka amat memerlukan.

“Memang nampak tak banyak, tetapi RM1,000 sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sebab banyak barangan dalam rumah yang rosak dan dengan bantuan itu juga boleh beli apa yang perlu dahulu.

“Tetapi, saya berharap bantuan itu boleh diberikan secepat mungkin kerana sejak duduk di PPS, tak tahu apa barang di rumah yang rosak akibat banjir,” katanya.

Turut lahirkan perasaan sama, Rafizah Jailani, 24, yang berharap bantuan khas bencana itu dapat diuar-uarkan kepada mangsa kerana masih ramai tidak tahu mengenai kemudahan berkenaan.

“Mungkin sebab masalah gangguan liputan telefon dan blackout menyebabkan ramai tak tahu mengenai bantuan tersebut. Tetapi harap ada pihak maklum sebab bantuan itu sememangnya memberi sinar kepada mangsa banjir.

“Soal bantuan pula walaupun lambat, tetapi penduduk bersorak bila nampak bot bomba, tentera dan agensi beruniform lain datang bawa makanan, lebih terasa lega bila nampak warga emas dan kanak-kanak diselamatkan dahulu sebab kasihan mereka,” luahnya.

Taman Sri Muda menjadi tumpuan pelbagai agensi kerajaan, NGO dan individu persendirian selepas keseluruhan kawasan di Seksyen 25 membabitkan 4,400 buah rumah terjejas akibat banjir selama lima hari bermula 18 Disember. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya