KUANTAN: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) negeri ini terus meningkat apabila mencatat bilangan seramai 39, 598 orang daripada 10,670 keluarga di sembilan buah daerah sehingga pukul 10 pagi hari ini.
Peningkatan bilangan mangsa melibatkan penempatan di 280 buah PPS pukul 10 pagi ini berbanding cuma 253 penempatan yang sama di sembilan buah daerah petang semalam dengan pertambahan 27 buah PPS.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, Kuantan terus mencatatkan pemindahan tertinggi seramai 21,777 orang di 67 PPS, manakala 70 PPS di Temerloh, daerah kedua mencatat seramai 8,390 mangsa.
“Di Lipis, ada peningkatan pemindahan mangsa, iaitu seramai 2,084 di 35 PPS, 30 PPS di Raub (1,771 orang), diikuti 32 PPS di Jerantut (1,983 orang), 15 PPS di Pekan (1,131 orang), di Bentong masih kekal 2 PPS (1,044 orang), 15 PPS di Maran (1,192 orang) dan 14 PPS di Bera menempatkan seramai 869 orang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, kata jurucakap tersebut, beberapa jalan raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Pahang masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan air belum surut dan kerja pembersihan di beberapa lorong.
Katanya, bagi Jerantut, jalan yang masih ditutup masih kekal, iaitu Jalan Jerantut ke Felda Kota Gelanggi, Jalan Jerantut – Lipis berdekatan Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Puas ke Gintong, Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok ke Jeransong, Jalan Ulu Retang ke Merting dan Jalan Sungai Yap ke Pasir Tambang.
“Di Raub pula, Jalan Sengkela ke Chenua, Jalan Bentong ke Gua Musang dan Jalan Ulu Renggol masih dinaiki air, manakala di Bentong melibatkan jalan Karak ke Simpang Pelangai dan jalan utama Mempaga,” katanya.
Katanya, jawatan kuasa itu menerima laporan Jalan Jerantut ke Maran, Jalan Serengkam dan Jalan utama Jengka Utara dan Selatan masih belum boleh dilalui.
“Selain LPT di negeri yang masih banjir serta kerja pembersihan, juga jalan yang masih ditutup di Kuantan, iaitu Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan ke Endau, Jalan Air Hitam ke Teluk Mahang, Jalan Panching Utara dan Jalan Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Beberapa batang laluan di Lipis juga masih ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan, iaitu Jalan Bukit Kota ke Aur Gading dan Jalan Lipis ke Jerantut,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE