PETALING JAYA: Peperangan melibatkan beberapa kuasa besar dunia tidak mustahil boleh tercetus sekiranya krisis antara Rusia dan Ukraine tidak ditangani dengan sewajarnya.
Sumber dari pihak Rusia memberitahu Utusan Malaysia, sekiranya konflik itu melarat kepada peperangan, meskipun ia tidak akan membabitkan penggunaan senjata nuklear, namun kesannya boleh memusnahkan ekonomi ASEAN termasuk Malaysia.
Katanya, Rusia dan Ukraine merupakan antara sepuluh negara pengeluar makanan terbesar dunia yang mengeksport bijirin seperti gandum, jagung dan soya.
Jika peperangan meletus antara kedua-dua negara, ia bakal menjejaskan rantaian bekalan global bagi sektor penting khususnya makanan dan Malaysia sebagai negara yang bergantung tinggi kepada import makanan akan terjejas.
“Jika krisis Rusia-Ukraine tidak ditangani dengan betul dan Amerika Syarikat (AS) serta United Kingdom (UK) pula berterusan melakukan provokasi menggunakan Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) dan Ukraine sebagai front, dikhuatiri ia akan melarat menjadi peperangan.
“Bila perang berlaku, harga makanan akan naik mendadak, sekali gus memberi kesan terhadap negara yang bergantung kepada import termasuk ASEAN dan Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, kata sumber, peperangan akan mengakibatkan kenaikan drastik harga gas dan minyak mentah dunia yang akhirnya mendorong kepada hiperinflasi global.
“Sebagai pengeluar terbesar gas dunia, Rusia akan mengetatkan kawalan ke atas eksport gas dan minyak terutama kepada Eropah. Ini sekali gus akan mengurangkan kitaran bekalan peringkat global dan kesan buruk pasti akan dirasai ASEAN,” ujarnya
Krisis Rusia-Ukraine bermula pada 2014 apabila Presiden Ukraine pada waktu itu, Viktor Yanukovich yang rapat dengan Moscow digulingkan oleh pihak asing yang anti-Rusia, menggunakan mobilisasi rakyat yang didanai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti National Endowment for Democracy (NED) serta Open Society Foundation (OSF).
Gerakan rakyat itu kemudian melarat kepada perang saudara apabila wilayah pro Moscow termasuk Donbass menentang rampasan kuasa tersebut, mendorong konflik yang mengakibatkan pesawat Malaysia MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.
Mengulas perkara itu, sumber mendakwa, krisis terkini yang berlangsung antara Rusia-Ukraine, berpunca akibat tindakan AS dan UK yang mahu merampas Donbass di tenggara Rusia.
“Media Barat juga memesongkan fakta dengan menyebarkan propaganda seolah-olah Rusia mahu merampas Ukraine. Lihat kepada realiti, pasukan NATO kini bersiap sedia di sempadan negara kami.
“Agenda mereka ialah menggunakan Ukraine untuk merampas Donbass, seterusnya membentuk zon penampan yang kukuh dan memberi tekanan kepada Rusia. Malah, ada kod nama untuk projek ini yang disebut sebagai ‘Ukraine anti Rusia’ bagi mewujudkan sentimen kepada rakyat,” dakwanya.