PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan pergerakan lekukan tropika (TD) kini bergerak ke arah utara dan akan berhenti di tengah Semenanjung.
Menurut MET Malaysia, terdapat model Ramalan Global yang menunjukkan pergerakan TD ke arah Utara Semenanjung manakala ada model yang meramalkan sistem tersebut melemah dan berhenti di tengah Semenanjung.
“Lekukan Tropika yang dicerap di perairan utara Sumatera sedang bergerak ke timur menghampiri utara Semenanjung, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian dan Larut, Matang dan Selama), menerima amaran hujan berterusan status waspada untuk hari ini.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan berterusan dan angin kencang di negeri-negeri Utara Semenanjung yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah yang terlibat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penamatan amaran hujan berterusan telah dikeluarkan pada lewat petang semalam apabila episod hujan berterusan tidak lagi dikesan.
“MET Malaysia telah serta merta mengemas kini kawasan terlibat dalam amaran hujan berterusan yang dikeluarkan sebelum itu. Pemantauan situasi hujan tersebut dilaksanakan secara berterusan 24 jam sehari dan pengemaskinian berkaitan dibuat sekiranya keadaan hujan menjadi lebih buruk atau berkurangan,” katanya.
Lapan negeri dilanda banjir sejak Jumaat lalu yang melibatkan hampir 70,000 mangsa.
Menurut MET Malaysia, faktor banjir berkenaan adalah kerana luruan sejuk monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mula terbentuk di Laut China Selatan (LCS). -UTUSAN ONLINE