Lebih ramai ahli Armada Sepang menyertai UMNO - Utusan Malaysia

Lebih ramai ahli Armada Sepang menyertai UMNO

NORAZLI Said (dua dari kiri) menerima borang pendaftaran ahli daripada Abdul Majud Maksud ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Sepang hari ini. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sepang hari ini menerima tamparan apabila sejumlah 60 anggotanya tampil beramai-ramai untuk menyertai UMNO.

Lebih menarik, mereka semua merupakan antara pengasas awal sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti berkenaan dari seluruh bahagian berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Menurut bekas Ketua Armada Cawangan Kota Warisan, Abdul Majud Maksud, mereka sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti tersebut cuma lebih mementingkan kuasa.

“Selama ini pemimpin bahagian lebih sibuk urusan merebut pengaruh dan langsung tidak peduli nasib ahli apatah lagi rakyat sejak menang Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengetuai kumpulan bekas ahli Armada itu menyerahkan borang pendaftaran ahli UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Sepang, Norazli Said.

Lebih unik, acara penyerahan keahlian baharu parti tersebut diadakan selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2021 dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majud, 34, dalam nada kesal berkata, perjuangan mereka dalam Armada hanya sia-sia dan ia terbukti apabila ketuanya keluar parti membentuk parti baharu.

“Situasi ini jelas membuktikan kepimpinan sayap Armada bergolak dari dalam kerana leka merebut kuasa daripada membela kebajikan rakyat selama mereka berkuasa,” jelasnya.

Bahkan dalam nada optimis, beliau yakin ramai lagi ahli Bersatu akan keluar parti berkenaan dalam masa terdekat kerana mulai sedar perjuangan mereka selama ini tidak dihargai.

Tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan jawatan dalam UMNO, mereka bertekad untuk membantu parti keramat Melayu ini merampas kembali kerusi yang jatuh kepada parti lawan.

Langkah itu termasuk menyusun gerak kerja bersepadu bagi memberi pencerahan kepada pengundi mengenai kegagalan Bersatu selama berkuasa sejak 2018 sehingga awal tahun ini.

Rakyat ujarnya, kena sedar bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sudah berpengalaman 60 tahun mentadbir negara ini dengan cemerlang sehingga disegani dunia.

“UMNO dan BN kalah ketika PRU lalu pun disebabkan kempen tohmahan fitnah jahat pihak pembangkang pada masa itu, bukan kerana pihak lawan memang hebat,” tambahnya.

Ini terangnya, terbukti apabila Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan kalah teruk ketika Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lalu walaupun BN digasak ‘serangan’ fitnah tanpa henti.

Keadaan itu kata Abdul Majud disebabkan rakyat sudah kembali sedar kesengsaraan di bawah pentadbiran mereka dan kegagalan memenuhi janji manifesto yang direka sendiri. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

 

Kapsyen: NORAZLI Said (dua dari kiri) menerima borang pendaftaran ahli daripada Abdul Majud Maksud ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Sepang hari ini. – UTUSAN/AMREE AHMAD

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya