SEREMBAN: Setiap calon yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebaiknya perlulah melepasi komitmen diri masing-masing sebagai seorang pelajar.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Muhammad Zaid Abdul Karim, 21, berkata, tidak salah sekiranya seseorang pelajar universiti itu menjadi calon dalam pilihan raya asalkan dia yakin dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelajaran dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Sekiranya dia yakin dengan diri boleh berikan komitmen dalam belajar dan membantu masyarakat, itu tiada masalah. Namun, sekiranya penglibatan pelajar itu sebagai calon semata-mata menjadi alat politik untuk meraih undi, saya tidak bersetuju.
“Bagi saya, lagi elok sekiranya, calon pilihan raya itu haruslah sudah habis belajar dan dia bersedia untuk berikan komitmen kepada rakyat setempat.
“Dibimbangkan nanti, di pertengahan jalan, semasa dia sudah diberi amanah untuk memimpin masyarakat, dikhuatiri lain pula yang jadi dan dia meninggalkan pelajarannya pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, tambah Muhammad Zaid, sebagai orang muda, sudah tentulah dia juga mahukan lebih ramai calon muda ditampilkan sebagai calon dalam pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Sudah tiba masa kita beri peluang kepada calon-calon muda ini untuk serlahkan bakat yang mereka ada. Beri mereka ruang dan peluang tunjuk bakat dan tampil dengan idea-idea baharu bagi diketengahkan demi masa depan negara, orang muda ini merupakan mutiara emas dalam sesebuah negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga berpandangan, calon yang akan diketengahkan dalam pilihan raya nanti mestilah seorang yang mampu mengotakan setiap apa yang dikatakannya.
“Apa yang dicakap mestilah selari dengan apa yang mahu dibuat termasuklah daripada segi manifesto yang ditawarkan. Seseorang itu juga mestilah mempunyai semangat dan daya kepemimpinan dalam menguruskan masyarakat, bukan hanya beri arahan sebaliknya perlu sentiasa turun padang.
“Seperkara lagi, ketika ini yang menjadi kayu ukur untuk memilih wakil rakyat bukanlah parti yang diwakili sebaliknya diri calon itu sendiri yang mestilah berakhlak dan berjiwa rakyat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE