Lebih 30,000 usahawan gulung tikar dibantu untuk bangkit semula - PM - Utusan Malaysia

Lebih 30,000 usahawan gulung tikar dibantu untuk bangkit semula – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kerjasama antara Usahanita dan Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) kepada Presiden Wawasanita, Datin Norlaili Alias di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan akan terus membantu golongan usahawan dan peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk lebih 30,000 usahawan yang terpaksa gulung tikar pada tahun lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha dan inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi membantu usahawan yang terjejas untuk bangkit semula dan terus berdaya maju.

Jelasnya, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada dunia secara amnya dan sudah pasti Malaysia tidak terkecuali. 

“Saya faham dan dapat merasai denyut nadi Keluarga Malaysia serta merasai perit jerih setiap usahawan untuk bangkit.

“Pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 untuk membantu usahawan bangkit semula kesan daripada pandemik Covid-19,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) di sini malam semalam. 

Ismail Sabri berkata, pelbagai bentuk bantuan diumumkan untuk rakyat malah Belanjawan 2022 yang diumumkan baru-baru ini juga mesra wanita.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya lepas tangan dan membiarkan Keluarga Malaysia terkapai-kapai tanpa bantuan sewajarnya. 

Jelasnya, barisan kepimpinan negara sentiasa memikirkan yang terbaik untuk membantu komuniti usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Antara inisiatif untuk memartabatkan usahawan wanita adalah mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam berkuatkuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal.

“Selain itu peruntukan RM5 juta diberikan melalui program kepimpinan muda dan keusahawanan wanita oleh Yayasan Kepimpinan Wanita dan peruntukan RM230 juta bagi pembiayaan usahawan wanita melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, Program DANANITA (MARA) dan TEKUNITA di bawah Tekun Nasional,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata, golongan usahawan perlu kreatif dalam usaha memasarkan barangan termasuklah dalam menghasilkan produk yang baik dan menambah baik barangan termasuklah dalam aspek pembungkusan.

Tambahnya, selain teknik pemasaran secara bersemuka golongan usahawan juga perlu mengaplikasikan kaedah pemasaran dalam talian yang dilihat amat berkesan serta berpotensi pada masa ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya