PASIR PUTEH: Inisiatif anak nelayan menawarkan perkhidmatan sewa kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV) berjaya menukar suasana Pantai Bisikan Bayu, di sini yang berbulan-bulan suram akibat Covid-19, kini menjadi meriah.
Syafiq Aiman Razali, 20, yang menjadi perintis kepada sukan lasak tersebut di situ memberitahu Utusan Malaysia, dia lega kerana pelaburan awal menggunakan duit simpanan keluarga sebanyak RM12,000 pada 2019, kini membuahkan hasil.
Kata pelajar tahun satu jurusan Pengurusan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Machang itu, dia kini memiliki sembilan unit ATV jenis 200 dan 250 kuasa kuda, berbanding hanya dua unit ATV di peringkat awal.
“Saya memulakan perniagaan, Pirate ATV pada 2019 ketika di tingkatan enam selepas melihat Pantai Bisikan Bayu suram tidak seperti lokasi peranginan lain. Namun, ketika baru bermula, dunia diancam Covid-19 pula.
“Lebih setahun lamanya ATV saya terperap begitu sahaja sehinggalah kerajaan memberi kelonggaran untuk aktiviti riadah. Sekarang, sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Kata Syafiq Aiman, nama Pirate ATV dipilih sebagai simbolik pengembaraan lasak yang ditawarkan kepada pelancong untuk meneroka keindahan Pantai Bisikan Bayu termasuk sekitar hutan bakau serta menelusuri perkampungan nelayan di situ.
Bagi membantu menguruskan perniagaannya yang semakin sibuk dengan jumlah pengunjung kian bertambah terutama setiap kali hujung minggu, pemuda itu berkata, dia mengambil bekas rakan-rakan sekolah untuk bekerja denganya.
“Kadar sewa dikenakan adalah antara RM45 hingga RM50 untuk tempoh setengah jam, bergantung kepada jenis kuasa kuda ATV dan kami turut menawarkan perkhidmatan merakam gambar pelanggan beraksi dengan ATV sebagai kenang-kenangan.
“Walau bagaimanapun, aspek norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap menjadi keutamaan kami. Hanya individu yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan menyewa ATV kami,” katanya.
Syafiq Aiman dalam pada itu berharap Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyokong inisiatif golongan belia kampung sepertinya yang cuba memeriahkan industri pelancongan dengan cara tersendiri. -UTUSAN ONLINE