LANGKAWI: Langkawi Craft Musical Fest 2021 yang mengetengahkan alat muzik tradisional berkonsepkan alunan semula jadi julung kali diadakan di Kompleks Kraf Langkawi bermula 11 hingga 19 Disember ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim berkata, penganjuran program Langkawi Craft Musical Fest 2021 itu adalah bagi meneruskan usaha Aspirasi Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Alunan muzik dan bunyian dipersembahkan kepada pengunjung dengan mengetengahkan alat-alat muzik tradisional yang juga merupakan produk kraf tempatan dalam kategori bidang kraf hasil rimba, kraf logam dan aneka kraf.
“Keunikan penghasilan produk kraf alat muzik ini dikomersialkan yang secara tidak langsung mempopularkan penggunaan produk kraf dalam persembahan seni dan budaya warisan negara,” katanya selepas merasmikan Langkawi Craft Musical Fest 2021 di Kompleks Kraf Langkawi di sini malam semalam.
Jelasnya, penganjuran program yang mempromosi dan mengkomersialkan alat muzik tradisional tempatan yang memerlukan kemahiran kraf akan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf Malaysia.
Menurutnya, Langkawi Craft Musical Fest 2021 telah menghimpunkan seramai 51 usahawan kraf serta 15 kumpulan dan individu pemuzik dari seluruh Malaysia antaranya alat muzik Serunai dari negeri Kedah, Gambus dari negeri Johor, Rebana dari negeri Perak, Sompoton dari Sabah dan Sape dari Sarawak.
Aididah berkata, program yang bermula kelmarin itu akan berlangsung selama sembilan hari di Kompleks Kraf Langkawi akan menjadi salah satu program tahunan yang menjadi program pengenalan kepada Kompleks Kraf Langkawi.
Ujarnya lagi, Kraftangan Malaysia berharap agar Langkawi Craft Musical Fest akn dikenali di peringkat antarabangsa setanding Rainforest World Music Festival pada masa akan datang. -UTUSAN ONLINE