SEPANG: Pengoperasian Pusat Kawalan Trafik Udara (KLATCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat pada waktunya iaitu ketika negara sedang mengambil tindakan untuk memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui penyediaan sistem dan peralatan kawalan trafik udara yang baharu dan lebih efisyen, ia secara langsung mampu mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara negara, setanding dengan negara maju di dunia.
Beliau berkata, pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang akan terhasil daripada Projek KLATCC akan memberikan impak positif kepada sektor ekonomi negara terutamanya dalam sektor penerbangan awam.
“Sungguh pun industri penerbangan awam mengalami kemerosotan amat ketara sejak tersebarnya pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 sehingga menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa yang menjejaskan industri pengangkutan udara, trend peningkatan semula sektor ini dijangka pulih kembali menjelang tahun 2025.
“Besar harapan saya agar pembukaan sempadan negara kelak akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam yang secara langsung akan memberikan kesan positif hasil limpahan kepada ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan KLATCC di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.
Ismail Sabri berkata, hasil daripada pertumbuhan dan perkembangan pesat industri penerbangan awam dan hasrat untuk memperkukuhkan dan memperkasa pengurusan dan pemantauan ruang udara negara pada tahun 2013, kerajaan meluluskan projek KLATCC baharu sebagai salah satu projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia (Ke-11) yang dimulakan pada 18 Januari 2016 dengan peruntukan sebanyak RM650.366 juta.
Kata beliau, bangunan berbentuk ‘Wau’ bukan sahaja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung, malah, turut menempatkan Pusat Mencari Dan Menyelamat Negara, serta Pusat Koordinasi Pengurusan Ruang Udara Bersama (JAMCC).
Beliau menjelaskan, dengan adanya pusat kawalan secara bersepadu yang serba canggih itu, tentunya keupayaan dan kesiapsiagaan negara dapat dipertingkatkan untuk menghadapi situasi dunia penerbangan yang serba mencabar serta dapat menyokong masa depan generasi akan datang lebih cerah.
“Berdasarkan kepada tenaga mahir tempatan yang telah digunakan dan juga ilmu yang ditimba dalam tempoh pelaksanaan projek KLATCC baharu ini, tentunya ia menjadi satu aset penting untuk negara dalam memastikan kita mampu berdiri sendiri dan seterusnya menyokong kemajuan serta pembangunan pelbagai industri lain.
“Kejayaan ini juga dilihat telah membolehkan perkhidmatan kawalan trafik udara negara untuk kekal dikawal sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dalam persekitaran kerja yang kondusif,” katanya. -UTUSAN ONLINE