SEPANG: Pembinaan baharu Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) membolehkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaksanakan perubahan struktur baharu ruang udara Kuala Lumpur (KLFIR) kepada 14 sektor berbanding tujuh sektor sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia penting kepada industri penerbangan terutamanya dalam membantu mereka dari segi pemendekan laluan penerbangan serta penjimatan bahan api hampir RM1 bilion setahun.
Kata beliau, Selain itu, KLATCC baharu ini juga dapat meningkatkan pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan tiga landasan secara serentak berbanding hanya 84 pergerakan sejam menggunakan dua landasan sebelum ini.
“Jika dibandingkan dengan KLATCC Subang sebelum KLIA siap dibina, pusat kawalan itu hanya mampu menampung kapasiti maksimum sebanyak 38 pergerakan pesawat sejam di Lapangan Terbang Subang.
“Dengan peningkatan dari segi kapasiti pergerakan pesawat ini, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada sektor penerbangan di Malaysia, bahkan, ia mampu menjadi salah satu daripada penyumbang sumber ekonomi kepada negara,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian KLATCC yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.
Menurut Ka Siong, KLATCC bakal menjadi model pembangunan seumpamanya bukan sahaja kepada negara, malah, kepada rantau ini terutama dari segi penggunaan teknologi tercanggih sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia menguruskan ruang udara yang baik.
Beliau berkata, sebagai berdepan pasca pandemik dengan pembukaan semula ekonomi, ia memerlukan perancangan rapi yang mana industri pengangkutan udara dijangka pulih sepenuhnya pada tahun 2025.
“Dalam tempoh menyesuaikan diri ini, kita membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai ATC cukup efisyen dan boleh jadi contoh kepada negara lain dengan keupayaan tenaga mahir tempatan terlatih dan berpengalaman dalam pengurusan ruang udara,” katanya.
Katanya, secara keseluruhannya, terdapat seramai 994 kakitangan ATC di seluruh negara termasuk di 24 menara kawalan trafik udara, dua pusat kawalan trafik udara iaitu KLATCC dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kota Kinabalu (KKATCC) serta satu Sub-Centre Kawalan Trafik Udara di Kuching, Sarawak.
“Diharapkan juga, kemudahan serba lengkap dan moden ini dapat membantu meningkatkan kecekapan petugas-petugas ATC untuk berdepan dengan pelbagai situasi tidak menentu dalam sektor penerbangan di negara ini pada masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE