Kereta terkunci, kanak-kanak hampir lemas - Utusan Malaysia

Kereta terkunci, kanak-kanak hampir lemas

ANGGOTA bomba berjaya mengeluarkan kanak-kanak yang terkunci dalam sebuah kereta dalam kejadian di Taman Melaka Raya, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang kanak-kanak yang ditinggalkan ibunya ketika sedang tidur dalam kereta nyaris lemas apabila kenderaan itu terkunci secara automatik di Taman Melaka Raya di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kanak-kanak berusia setahun enam bulan berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba. 

Ibunya, Asnida Marwani Yaacob, 36, berkata, ketika kejadian mangsa ditinggalkan bersama kakaknya berusia tujuh tahun sementara dia keluar dari kereta untuk menghantar pakaian ke dobi. 

“Ketika kejadian, saya tinggalkan anak perempuan saya dan memintanya untuk menjaga adik lelakinya kerana dia sedang tidur. 

“Bagaimanapun, tiba-tiba anak saya itu keluar dari kereta dan meninggalkan adiknya dalam keadaan enjin yang hidup,” katanya. 

Jelasnya, dia bergegas ke kereta jenis Honda City berkenaan untuk memeriksa keadaan kanak-kanak itu, bagaimanapun, semua pintu kenderaan terbabit tidak boleh dibuka. 

“Saya cuba buka, tetapi tidak boleh, saya jadi panik dan terus menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan,” jelasnya. 

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Mazlan Misran berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.16 tengah hari. 

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. 

“Setibanya di lokasi kita dapati seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun terkunci di dalam kereta jenis Honda City.

“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dalam masa 12 minit menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya