Kerajaan teliti risiko Omicron sebelum tangguh umrah - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti risiko Omicron sebelum tangguh umrah

IDRIS Ahmad (dua kiri) menyampaikan sumbangan Yayasan MAIWP kepada wakil Pertubuhan HESA Kedah dan NGO pada majlis perjumpaan bersama Tuan Guru Pondok Negeri Kedah di Sik hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK:  Kerajaan akan meneliti risiko penularan varian Omicron di Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penangguhan ibadah umrah dalam kalangan umat Islam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berhubung penularan Omicron di negara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi menjamin keselamatan umat Islam dari negara ini yang mahu menunaikan umrah selepas ini.

“Kita akan dapat petunjuk (varian Omicron) daripada KKM nanti. Umrah ini terletak di bawah Motac bukan bawah bahagian hal ehwal agama, jadi saya akan berbincang dengan Motac dengan KKM,’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama Tuan Guru Pondok Negeri Kedah di Madrasah Ar Rahmaniah, Pondok Tuan Guru Haji Salleh di sini hari ini.

Seramai 40 tuan guru pondok di negeri ini hadir pada perjumpaan tersebut.

Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan sumbangan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM290,000 kepada Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) Kedah dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, umat Islam yang mahu menunaikan ibadat haji supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM sepanjang berada di tanah suci itu.

Pada masa sama, tambahnya, pihaknya  mengharapkan kerjasama daripada jemaah yang baru pulang menunaikan umrah mematuhi tempoh kuarantin kendiri bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kalau boleh, kita harap jemaah umrah yang balik dapat melakukan ujian saringan Covid-19 setiap hari dan tidak perlu keluar rumah supaya tidak berlaku jangkitan.

“Orang ramai pada masa sama juga diminta untuk tidak mengunjungi jemaah yang baru pulang daripada mengerjakan umrah bagi mengelak jangkitan,” ujarnya.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, kerajaan mungkin menangguhkan ibadah umrah jika situasi penularan varian Omicron di Arab Saudi meningkat dan jangkitan dalam kalangan jemaah tempatan berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun, Khairy  berkata, pada masa ini belum lagi sampai tahap menangguh ibadah umrah dan kerajaan tidak mahu melakukan keputusan terburu-buru. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya