PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) terus menambah baik perkhidmatan dalam talian apabila pendeposit kini dapat mengemaskini maklumat peribadi tanpa perlu hadir ke Pejabat Tabung Haji Cawangan.
Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Kerja Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, TH komited menyediakan perkhidmatan terbaik dan mesra pelangan kepada para pendeposit termasuklah urusan dalam talian menerusi aplikasi THiJARI.
Ujarnya, ini bertepatan dengan keadaan semasa kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, para pendeposit lebih memilih untuk berurusan secara dalam talian.
“TH telah menambah baik platform digital supaya pendeposit dapat mengemaskini maklumat peribadi secara dalam talian agar maklumat pendeposit sentiasa terkini dan memudahkan urusan mereka di masa hadapan.
“Pendeposit kini dapat mengemaskini maklumat peribadi seperti gelaran, emel, alamat tetap dan surat menyurat, nombor telefon rumah dan pejabat, status perkahwinan, nombor akaun bank dan lain-lain yang boleh dirujuk di laman web TH,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, bagaimanapun, sekiranya pendeposit mahu mengemaskini nombor telefon bimbit berdaftar, mereka perlu hadir ke Pejabat TH Cawangan berdekatan.
“Ini adalah selaras dan mengambil kira polisi Bank Negara Malaysia berkenaan Electronic Know-Your-Customer (e-KYC) bagi tujuan pengesahan diri menggunakan teknologi yang dicadangkan bagi mengurangkan risiko transaksi secara maya atau tidak bersemuka selain memastikan pendaftaran nombor telefon bimbit adalah terkawal.
“Keutamaan giliran diberikan kepada pendeposit untuk mendaftar nombor telefon di Pejabat TH Cawangan seluruh negara,” ujarnya.
Sehingga kini, THiJARI telah merekodkan purata 50 ribu transaksi sehari dan sebanyak 1.5 juta transaksi sebulan, melibatkan nilai deposit lebih daripada RM200 juta melalui dalam talian. -UTUSAN