Kemalangan tragis: Lesen pengendali syarikat boleh dibatal, digantung - Utusan Malaysia

Kemalangan tragis: Lesen pengendali syarikat boleh dibatal, digantung

mca
WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak berkuasa di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang menyiasat kejadian kemalangan tragis yang meragut 10 nyawa di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, siasatan terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan kemalangan tragis itu berlaku. 

Beliau berkata, laporan daripada penyiasatan itu nanti termasuk laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ akan diserahkan secepat mungkin kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). 

“Sekiranya syarikat yang terlibat dalam kemalangan itu didapati melanggar keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) mereka, APAD akan mengeluarkan perintah untuk menggantung atau membatalkan lesen pengendali syarikat berkenaan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi ICOP dengan alasan munasabah dan telah melanggar syarat lesen pengendali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ka Siong, pelanggaran syarat lesen itu mampu mewujudkan risiko keselamatan kepada pemandu lain, pejalan kaki dan orang awam.

Dalam kejadian lewat malam tadi, sebuah lori treler merempuh tiga buah kereta yang berhenti di lorong kecemasan sehingga meragut 10 nyawa termasuk seorang ibu dan lapan orang anaknya. 

Kemalangan tragis itu berlaku di lorong kecemasan Lebuhraya Elite menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya