ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menghulurkan sumbangan khas sebanyak RM200,000 kepada kerajaan Selangor bagi membantu rakyat di negeri itu yang ditimpa bencana banjir.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sumbangan tersebut diberikan sebagai tanda kebersamaan Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor.
Katanya, sumbangan tersebut akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri dalam kadar segera.
“Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Selangor yang paling teruk terjejas pastinya bertungkus lumus mengerahkan seluruh keupayaan aset dan agensi kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi musibah ini.
“Sebagai tanda kebersamaan kami rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor, kerajaan negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan khas kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM200,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Muhammad Sanusi menambah, sumbangan kecil itu diharap dapat membantu rakyat dan kerajaan negeri Selangor.
“Kerajaan negeri Kedah amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda penduduk di Selangor serta negeri-negeri lain. Kesukaran penduduk dan kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada apa yang dapat dibayangkan.
“Selain sumbangan kerajaan negeri, Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk dibawa ke Selangor bersama aset serta petugas bagi membantu penduduk di sana,” katanya. -UTUSAN ONLINE