PETALING JAYA: Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menambah sebanyak 500 pusat perlindungan sementara (PPS) baharu di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kementeriannya sedang mengenal pasti PPS yang sesuai dijadikan sebagai Pangkalan Hadapan.
Katanya, ia berfungsi sebagai stor dalam komuniti yang menyimpan barangan asas untuk mempercepatkan proses agihan bantuan kepada mangsa bencana dan sebanyak 200 pangkalan sudah ditubuhkan khususnya di negeri Selangor dan Johor.
“Kementerian juga telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Sosial yang ditubuhkan di bawah Pasukan Petugas Khas Operasi dan Pasca Banjir yang berperanan membantu mengembalikan semangat dan sokongan psikososial kepada mangsa yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan dan pemantauan kesiapsiagaan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) JKM bagi Zon Tengah.
Tinjauan itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana banjir berikutan laporan dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi menunjukkan akan berlaku hujan lebat di beberapa negeri.
Mengulas lanjut, Rina telah mengarahkan supaya lapan DSKB di Kedah, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah berada dalam keadaan bersedia dengan memastikan barangan bantuan keperluan asas bencana sentiasa cukup.
“Hal ini penting supaya tidak berlaku sebarang kelewatan dalam usaha membantu mangsa benca yang berada dalam kesusahan,” katanya. -UTUSAN ONLINE