ALOR SETAR: Penduduk di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menangguhkan bayaran saman trafik selepas tempoh tawaran pengurangan kadar saman sebanyak 80 peratus sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ingin membuat bayaran saman tersebut tidak perlu lagi menangguhkannya sehingga saat akhir untuk mengelakkan berlaku kesesakan di balai-balai polis selepas ini.
Malah, menurutnya, orang ramai juga boleh menjelaskan bayaran saman dengan menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di mana-mana MayBank atau secara dalam talian menerusi sistem, MyBayar Saman.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya mengambil peluang menjelaskan bayaran saman tersebut dengan segera dan tidak menangguhkannya sehingga saat akhir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu, PDRM melanjutkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus sehingga 31 Disember ini sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Menurut Acryl, lanjutan pemberian diskaun tersebut dibuat bagi membantu meringankan beban dan memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman mereka.
PDRM sebelum ini menetapkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus yang bermula pada 9 Disember lalu berakhir semalam.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Balai Polis Kota Setar hari ini pula mendapati suasana tenang apabila jumlah yang datang untuk membayar saman tidak ramai berbanding sejak Khamis hingga semalam.
Kamarul Zaman menambah, kutipan bayaran saman trafik menerusi pengurangan sebanyak 80 peratus di negeri ini juga meningkat kepada lebih RM7.417 juta membabitkan sebanyak 143,524 saman dari Khamis lalu hingga semalam.
Katanya, jumlah bayaran saman tersebut yang berjaya dikutip sejak khamis sehingga Sabtu lalu pula bernilai RM5.281 juta.
Sementara itu, seorang pengguna, Shahrudin Shamsudin, 57, berkata, dia berterima kasih kepada PDRM kerana melanjutkan tempoh pengurangan bayaran saman trafik sehingga 31 Disember ini.
Menurutnya, dia mungkin terlepas untuk membayar saman sempena pengurangan tersebut kerana tidak sanggup beratur panjang untuk membayar saman di Balai Polis Kota Setar semalam.
“Saya telah datang ke Balai Polis Kota Setar seawal pukul 8.30 pagi semalam, namun mengambil keputusan pulang apabila melihat orang ramai telah beratur panjang.
“Jadi, saya datang semula hari ini apabila tempoh pengurangan saman dilanjutkan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Md. Zain Isa, 50, berkata, dia juga mengambil peluang membayar saman hari ini setelah tidak berkesempatan berbuat demikian sejak Khamis lalu.
“Saya telah menjelaskan saman berjumlah RM200 hari ini dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan program ini bagi meringankan beban rakyat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE