JERANTUT: Beberapa jalan utama dan kampung di daerah ini mula dinaiki air sejak malam tadi berikutan air Sungai Tembeling dan Sungai Pahang melimpah masuk melalui anak sungai menenggelami kawasan rendah pada awal pagi hari ini.
Antara laluan utama dinaiki air, iaitu Jalan Jerantut ke Kuala Tembeling dan Lipis berdekatan Sungai Kerak dan persimpangan Kampung Sepial berdekatan Kuala Tembeling.
Tinjauan mendapati, Jalan Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan di Kampung Paya Garok dan persimpangan kilang papan Jerantut Feri masih boleh dilalui kenderaan berat sehingga pukul 11 pagi hari ini dan kemungkinan ditutup selepas tengah hari ini berasaskan trend air semakin menaik.
Senario yang sama juga berlaku di jalan raya berdekatan Kota Gelanggi 3 dan Kota Gelanggi 4 antara laluan ke Gugusan Felda Lepar Utara juga dinaiki air sejak awal pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut dan YP Maintenance Sdn. Bhd. berkata, penutupan laluan juga melibatkan jalan ke Kampung Ulu Retang ke Merting apabila Jambatan Sungai Puai ditenggelami air, Jalan Sungai Lekok ke Jeransong, Jalan Bukit Puas ke Gintong dan Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau berdekatan Pedok ditenggelami air sudah mencecah hampir satu meter.
Penutupan jalan raya yang dinaiki air menyebabkan berpuluh-puluh buah kenderaan daripada dua hala berpatah balik. JKR dan YP Maintenancesuda memasang tanda amaran di lokasi laluan tersebut hari ini.
Anggota bomba dan penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada di lokasi untuk memantau keadaan banjir dan keselamatan pengguna.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris meminta pengguna jalan raya terutama di daerah ini supaya berhati-hati mematuhi papan tanda dan arahan pihak berkuasa di samping jangan cuba meredah laluan yang dalam yang boleh mengundang risiko keselamatan. -UTUSAN ONLINE