Iris Capital Partners lancar dana hutang teroka - Utusan Malaysia

Iris Capital Partners lancar dana hutang teroka

Pengerusi Iris Fund, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Iris Capital Partners Sdn. Bhd. melancarkan Iris Fund iaitu dana hutang teroka (VC) pertama di Malaysia diterajui oleh syarikat swasta, yang menyasarkan untuk membiayai syarikat pemula berimpak tinggi dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Firma itu adalah satu daripada lapan pengurus dana VC yang dipilih di bawah Dana Penjana Nasional Kerajaan Malaysia, sebuah program dana yang ditadbir oleh Penjana Kapital.

Dana perintis ini diuruskan secara bersama oleh Hanwha Asset Management Co., menjadikannya sebagai perkongsian hutang teroka sulung kumpulan itu di Malaysia. 

Saiz dana sasaran RM160 juta disandarkan oleh Penjana Kapital dan sejumlah pelabur institusi dan bernilai bersih tinggi.

Pengerusinya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, walaupun Iris Fund tidak terhad kepada sektor atau peringkat pendanaan yang tertentu, pihaknya mencari syarikat yang mempunyai rancangan dan unjuran perniagaan menyeluruh dengan strategi yang jelas untuk prospek pertumbuhan jangka panjang. 

“Dana ini menyasarkan untuk mempelbagaikan sumber modal untuk syarikat pemula dan membantu mengukuhkan peluang pembiayaan di Asia Tenggara.

“Dana ini juga menyasarkan penawaran lebih banyak akses pembiayaan kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membolehkan pengasas syarikat terus mengawal pencairan ekuiti syarikat mereka dengan lebih baik.” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Rakan Kongsi Iris Fund, Kimo Kim memberitahu, usaha niaga sulung ini mencerminkan keyakinan kuat Kumpulan terhadap pertumbuhan di rantau ini. 

“Dana ini adalah permulaan kepada lebih banyak lagi kerjasama dengan Iris Capital Partners sesuai dengan hasrat kumpulan untuk melabur lebih banyak lagi di Malaysia dan Asia Tenggara,” ujarnya.

Iris Fund menyasarkan untuk membantu memacu syarikat pemula dan PKS di Malaysia dan Asia Tenggara ke satu tahap yang lebih tinggi, di samping membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi syarikat yang mampu mencipta peluang pekerjaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya