Ikan haruan kedak, toman bunga semakin laris - Utusan Malaysia

Ikan haruan kedak, toman bunga semakin laris

MUHD. Najmi Zakaria menunjukan anak ikan toman bunga peliharaannya di Taman Kulim, Kulim hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang pemuda tidak menyangka hobi memelihara ikan hiasan air tawar, haruan kedak dan toman bunga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu meraih pendapatan sampingan yang lumayan.

Haruan kedak atau nama saintifiknya, Channa limbata dan toman bunga dengan nama saitifiknya, Channa marulloides kini menjadi ikan perhiasan yang diminati oleh ‘kaki akuarium’ dan semakin laris di pasaran.

Muhd. Najmi Zakaria, 23, berkata, dia yang masih menganggur selepas berhenti kerja di sebuah kedai basikal ketika PKP sebelum ini mengisi masa lapang dengan memelihara ikan haruan kedak dan toman bunga di rumahnya di Taman Kulim di sini.

Katanya, harga ikan haruan kedak di pasaran antara RM150 sehingga RM200 seekor bergantung pada keadaan warna, corak pada badan dan warna mata manakala ikan toman bunga pula dijual dengan harga RM600 sehingga RM2,000 seekor.

“Saya menjual ikan haruan kedak dan toman bunga secara dalam talian dan semakin mendapat permintaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kulim di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini, dia memelihara sebanyak 15 ekor ikan haruan kedak dan toman bunga pelbagai saiz dan warna.

Jelasnya, ikan-ikan hiasan itu dibeli daripada pembekal dari selatan tanah air yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.

“Kebiasaannya saya membeli anak ikan hiasan itu bersaiz enam sentimeter dengan harga sekitar RM150 dan saiz 16 sentimeter pula dijual lebih RM300.

“Memelihara ikan haruan kedak dan toman bunga tidak begitu sukar kerana tidak memerlukan oksigen, sebaliknya hanya perlu menjaga air serta pemakanan,” ujarnya.

Tambahnya, ikan hiasan tersebut dijangka mendapat sambutan dan bakal menjadi hobi baharu dalam kalangan kaki akuarium selepas ini seperti ikan laga.

Malah katanya, difahamkan memelihara ikan haruan kedak dan toman bunga semakin popular di negara jiran dan banyak pertandingan ikan hiasan tersebut diadakan sejak kebelakangan ini.

“Sehubungan itu, saya merancang untuk memelihara lebih banyak anak ikan hiasan itu kerana percaya dapat memberi pulangan yang menguntungkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya