KUALA LUMPUR: Seorang ibu muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas tuduhan mengabaikan anaknya sehingga kanak-kanak berusia 5 tahun itu terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita berusia 24 tahun itu didakwa telah mengabaikan anak lelakinya yang berusia lima tahun tujuh bulan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 9.40 pagi hingga 10.48 pagi, 17 November lalu di sebuah unit kondominium di Jalan Lebuh Raya Selayang-Kepong di sini.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selepas mahkamah merekodkan pengakuan tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat-syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan memandangkan dia hanya seorang surirumah dan suaminya bekerja sebagai `rider’ (penghantar barang).
“Sejak kehilangan arwah anak saya (mangsa), kesihatan saya juga tidak begitu stabil. Mohon jamin yang rendah,” kata wanita itu yang turut mempunyai seorang lagi anak berusia empat tahun.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan, menetapkan wang jamin terhadap wanita itu sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan, perlu melapor diri ke balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Januari 2022 bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal yang memberitahu dalam kejadian seorang kanak-kanak jatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium, mangsa telah ditinggalkan bersama adik lelaki berusia empat tahun dan ibu saudara berusia 36 tahun.
Tambah pegawai polis tersebut, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap. Pemeriksaan juga mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji. – UTUSAN ONLINE