Hasni ucap takziah, pemergian Osman kehilangan besar kepada Johor - Utusan Malaysia

Hasni ucap takziah, pemergian Osman kehilangan besar kepada Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemergian bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, 70, yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi merupakan satu kehilangan besar bagi negeri dan politik Johor secara khususnya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri turut berduka cita dengan pemergian bekas Menteri besar Johor ke-16 itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas. 

Salam takziah kepada keluarga Datuk Osman Sapian yang telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh dan beriman,” tulisnya dalam Facebook miliknya hari ini.

Osman yang sebelum ini mengalami serangan angin ahmar menghembuskan nafas terakhir di kediaman anak lelakinya, Nurnekman di Damansara pada pukul 11.45 malam tadi. Jenazah beliau dibawa pulang ke Johor untuk dikebumikan hari ini.

Sementara itu, bekas Menteri Besar ke-17, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyifatkan pemergian Osman adalah kehilangan besar kepada parti.

 Dr. Sahruddin berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang tegas, namun, beliau amat disenangi oleh rakan-rakan di arena politik serta berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

“Pemergian Allahyarham yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Johor ini amatlah dirasai dan merupakan suatu kehilangan besar kepada parti. Sejak daripada awal penubuhan Bersatu terutama di Johor, jasa Allahyarham kepada parti amat besar. 

“Begitu juga sumbangannya sepanjang menjadi wakil rakyat kepada agama, bangsa dan tanah air. Seluruh kepimpinan dan ahli Bersatu Johor mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Selain sebagai wakil rakyat Kempas sejak 1999 hingga 2013 dan dipilih semula di kawasan itu pada 2018, Osman juga pernah menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya