PETALING JAYA : Jumlah mangsa banjir belum menunjukkan penurunan ketara apabila sebanyak 62,412 orang daripada 17,653 keluarga ditempatkan di 388 pusat pemindahan sementara (PPS) yang membabitkan tujuh negeri akibat bencana banjir sejak minggu lalu.
Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, meskipun hampir seminggu banjir melanda negara ini, namun angka terus mencatatkan pertambahan dengan Pahang mencatatkan negeri tertinggi jumlah mangsa banjir dengan 37,592 orang.
Selain itu diikuti Selangor (22,224), Kelantan (1,559), Negeri Sembilan (343), Terengganu (332), Kuala Lumpur (315), Perak (244) dan Melaka (135).
Bagaimanapun terdapat penurunan jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu berbanding pada sebelum ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut laporan ramalan kajian dikeluarkan, amaran itu membabitkan negeri Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
Malah amaran dikeluarkan di beberapa daerah atau kawasan Sarawak dan Sabah. -UTUSAN ONLINE