Hakisan Sungai Kurau bimbangkan penduduk  - Utusan Malaysia

Hakisan Sungai Kurau bimbangkan penduduk 

SALIMAH Mohamad menunjukkan sampah-sarap yang memenuhi kawasan rumahnya yang dibawa ombak kesan hakisan Sungai Kurau di daerah Kerian, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan Sungai Kurau, di Kuala Kurau, daerah Kerian di negeri itu. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah yang serius berlaku sejak lima tahun lalu itu kini semakin membimbangkan penduduk Kampung Raja Bashah kerana kesan kejadian tersebut semakin hampir dengan kediaman mereka.

Menurut beliau, tinjauan pihaknya mendapati kira-kira 20 buah rumah yang terletak di sepanjang 400 meter sungai berkenaan terdedah kepada bahaya ancaman itu selain beberapa batang pokok di kawasan tersebut telah tumbang.

“CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak berkenaan menjalankan kajian secara menyeluruh punca berlakunya masalah tersebut. 

“Kita percaya jika keadaan ini berlarutan kemungkinan harta benda penduduk akan mengalami kerosakan dan kemusnahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohideen, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang berkaitan perlu turun padang melihat masalah itu secara dekat supaya tindakan bersepadu yang berkesan dapat diambil. 

Dalam masa sama jelas beliau, pihaknya juga berharap perkara itu didedahkan kepada umum khususnya mereka yang berhadapan dengan situasi tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Salimah Mohamad, 60, berkata, rumahnya bukan sahaja sudah terlalu hampir dengan tebing sungai tersebut yang sudah runtuh, malah ketika ombak melanda air sungai turut melimpah bersama sampah-sarap. 

Tambahnya, sejak kejadian itu berlaku, hampir 15 meter tebing sungai tersebut telah terhakis. 

“Masalah ini pernah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil. 

“Saya merayu pihak bertanggungjawab membina tembok pencegah hakisan di kawasan ini dengan segera kerana bimbang keselamatan kami yang tinggal sepanjang sungai ini boleh terancam pada masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya