Graduan IKN bina potensi, kejayaan  - Utusan Malaysia

Graduan IKN bina potensi, kejayaan 

Penerima Anugerah Ketua Pengarah 2020, Ramlee Amin Jumat (kiri), Mohd Aliff Ikmal Rosla@Rostam (dua dari kiri) serta penerima Anugerah Ketua Pengarah 2021, Heloana Syra Leduin (dua dari kanan) dan Muhammad Fitri Azhan Fauzi yang merangkul Graduan Diploma dan Sijil Terbaik Keseluruhan Tahun 2020 dan 2021 pada Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-19 2021 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. -Ihsan IKN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun pekerjaan sebagai tukang kayu tidak popular sebagaimana kerjaya lain, Ramlee Amin Jumat, 29, tetap memasang impian dan cita-cita tinggi untuk berjaya dalam bidang itu.

Dia tekad menyambung pelajaran di Institut Kraf Negara (IKN) dalam jurusan Seni Kraf Kayu walaupun pada mulanya sedikit gentar dan tidak mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan bidang berkenaan.

Namun, kini Ramlee, anak kelahiran Keningau, Sabah, berjaya menjadi salah seorang penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan Diploma Seni Kraf Kayu Sesi 2020, membuktikan tiada yang mustahil jika usaha keras diteruskan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ramlee berkata, dia juga tiada apa-apa rahsia untuk mencapai kejayaan sebagaimana yang diperolehnya hari ini.

“Minat dalam bidang seni kraf kayu ini hanya dipupuk selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran di IKN pada 2016.

“Sebelum itu, saya bekerja di kedai perabot dan tidak pernah ada pengalaman dalam bidang ukiran. Namun, majikan saya beritahu mahu hantar saya menyambung pelajaran ke IKN. Saya gentar juga. Tapi saya tekad. Apabila masuk sahaja, saya mula nampak bidang ini sebenarnya ada potensi tersendiri,” katanya baru-baru ini.

Ramlee yang kini bekerja di Tunjang Bakawali Warisan Sdn. Bhd. di Terengganu berkata, dia mahu menjadi usahawan bidang seni kraf kayu kerana bidang ini berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Bagi Heloana Syra Leduin, 29, pula, dia sendiri tidak mempunyai minat dan asas dalam bidang batik.

Namun, selepas mula melanjutkan pelajaran di IKN, anak kelahiran Tuaran, Sabah itu mula jatuh cinta dengan seni yang cukup popular di negeri Pantai Timur ini.

“Saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha bersungguh-sungguh. Malah, setiap tugasan saya lakukan dengan baik, lebih-lebih lagi saya sudah jatuh cinta dengan seni ini. 

“Tambahan pula, saya tahu banyak cabang lain yang boleh kita ceburi dalam bidang kraf tangan seperti guru, usahawan dan pereka produk industri,” katanya merupakan salah seorang Anugerah Terbaik Keseluruhan Sijil Seni Kraf Batik Sesi 2021.

Sementara itu, Muhammad Fitri Azhan Fauzi , 21 berkata, walaupun bidang kemahiran diceburinya tidak seperti kemahiran lain, dia tetap meneruskannya demi minat yang dipupuk sejak kecil.

Apa yang penting pada penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan Diploma Seni Kraf Kayu Sesi 2021 ini ialah, menjadi seorang usahawan kraf kayu yang berjaya pada satu masa nanti.

Graduan Sijil Seni Kraf Logam 2020, Mohd. Aliff Ikmal Roslan, 21, pula berkata, dia tahu jurusan yang dipelajarinya di IKN mempunyai potensi besar terutama dalam kalangan pengusaha emas.

Dia dalam masa yang sama turut berharap lebih ramai anak muda lain menerokai bidang kemahiran berkaitan kraf pada satu masa nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya