SHAH ALAM: Mangsa banjir kehilangan dokumen Kebenaran Berkahwin yang dikeluarkan di bawah seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 Surat Perakuan Nikah di bawah subseksyen 26(1) boleh mendapatkan penggantian dokumen baharu secara percuma.
Surat Perakuan Cerai di bawah subseksyen 55(5) atau Surat Perakuan Rujuk di bawah subseksyen 52(3) enakmen yang sama turut boleh diganti tanpa sebarang kos.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, individu terlibat boleh berurusan dengan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang mempunyai bidang kuasa mengeluarkan dokumen tersebut mulai 28 Disember sehingga 31 Januari 2022.
“JAIS sangat prihatin dan mengambil berat kemaslahatan orang awam yang terjejas dengan banjir yang dialami kebanyakan daerah di Selangor.
“JAIS menjangkakan bencana alam ini turut menyebabkan kemusnahan, kerosakan atau kehilangan dokumen-dokumen rasmi penting berkaitan perkahwinan, penceraian dan rujuk yang dikeluarkan oleh JAIS,” katanya.
Terdahulu, banjir besar minggu lalu menyebabkan puluhan ribu rakyat negeri ini menjadi mangsa.
Banjir di beberapa kawasan seperti di Seri Muda, Padang Jawa Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Selangor menyebabkan harta benda dan dokumen penting rosak akibat ditenggelami air selama lebih lima hari. -UTUSAN ONLINE