PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan pihaknya mengarahkan penduduk Kampung Sungai Tua Tanah Gantian mengosongkan rumah ekoran pelepasan air di Empangan Batu.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, isu ini sebaliknya merupakan salah faham dalam kalangan penduduk semasa lawatan kebajikan pihak polis ke kampung tersebut.
Malah, katanya, PDRM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan arahan pengosongan sebagaimana dakwaan dalam media sosial.
“Justeru, PDRM ingin menasihatkan orang awam supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga membangkitkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum itu, tular gambar di sebuah Facebook Batu Caves Dihatiku berkenaan perkembangan terkini di Empangan Batu Ulu Yam.
Kenyataan di laman tersebut mendakwa PDRM mengarahkan penduduk Sungai Tua Tanah Gantian untuk mengosongkan rumah ekoran pelepasan air.-UTUSAN ONLINE