PETALING JAYA: Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat (AS) menurunkan unjuran penggunaan petroleum dan bahan api cecair dunia untuk suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun hadapan.
Menurut EIA, unjuran tersebut diturunkan sebahagiannya kerana sekatan perjalanan yang dilaksanakan beberapa negara disebabkan penemuan varian baharu Covid-19, Omicron.
Dalam Unjuran Tenaga Jangka Pendek (STEO) yang diterbitkan baru-baru ini, EIA menjangkakan 99.7 juta tong sehari (bpd) petroleum dan bahan api cecair digunakan di seluruh dunia pada November lalu, peningkatan 4.9 juta bpd berbanding November 2020 dan 1.1 juta bpd kurang berbanding November 2019.
“Potensi kesan penyebaran varian baharu ini tidak dapat dipastikan, menyebabkan risiko ke bawah kepada unjuran penggunaan minyak dunia, khususnya untuk bahan api pesawat.
“Kami mengunjurkan penggunaan global petroleum dan bahan api cecair berada pada purata 96.9 juta bpd untuk keseluruhan 2021, yang merupakan peningkatan sebanyak 5.1 juta bpd berbanding 2020.
“Kami mengunjurkan penggunaan petroleum dan bahan api cecair akan meningkat sebanyak 3.5 juta bpd pada 2022 kepada 100.5 juta bpd,” katanya.
Menurut EIA, purata harga semerta minyak mentah Brent ialah AS$81 (RM341.01) setiap tong pada November, penyusutan AS$3 (RM12.63) setiap tong berbanding Oktober lalu dan peningkatan AS$38 (RM159.98) setiap tong berbanding November tahun lalu.
Katanya, harga minyak mentah meningkat dalam tempoh setahun ini disebabkan pengeluaran kukuh inventori minyak dunia pada purata 1.4 juta bpd pada tiga suku pertama tahun ini.
“Harga minyak mentah jatuh secara signifikan pada 26 November dan harga semerta Brent memasuki Disember di bawah paras AS$70 (RM294.70) setiap tong.
“Penyusutan harga yang disusuli penemuan varian Omicron membangkitkan kemungkinan permintaan boleh merosot dalam masa terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, EIA menjangkakan harga Brent akan berada pada purata AS$71 (RM298.91) pada Disember dan AS$73 (RM307.33) pada suku pertama 2022.
“Untuk keseluruhan 2022, kami menjangkakan pertumbuhan pengeluaran dari OPEC+, AS dan negara bukan OPEC lain akan mengatasi pertumbuhan perlahan penggunaan minyak dunia, terutamanya dalam kebimbangan baharu berkenaan varian Covid-19.
“Kami mengunjurkan harga Brent kekal berdekatan paras semasa pada 2022, pada purata AS$70 setiap tong,” katanya. – UTUSAN