PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) berjaya mencapai 100 peratus kadar pengambilan produk baharunya iaitu The Twin Factories 2 di Elmina Business Park, Selangor dan Hamilton Industrial Park 1 di Nilai, Negeri Sembilan.
Sebanyak 22 unit Twin Factories dan 42 unit Hamilton Park dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM328.58 juta telah ditempah semasa pelancarannya baru-baru ini.
Pengarah Urusan Sime Darby, Datuk Azmir Merican berkata, pencapaian itu adalah bukti keupayaan syarikat dalam menyampaikan produk yang mempunyai permintaan tinggi dengan dengan pelbagai jenis tawaran.
“Sambutan terhadap produk perindustrian yang dilancarkan pada tahun ini amat menggalakkan dengan kadar pengambilan lebih 90 peratus daripada tiga pelancaran baru-baru ini.
“Hartanah Sime Darby akan terus mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membangunkan pilihan produk perindustrian dalam bandar yang menawarkan akses mudah ke lebuh raya utama dan hab logistik selain mengembangkan segmen perindustrian dan logistik kami,” katanya dalam kenyataan.
Twin Tower Factories 2 memenuhi pelbagai keperluan pemilik perniagaan dengan menampilkan fungsi kawasan tiga dalam satu seperti, kawasan tetamu, pejabat yang boleh diluaskan serta ruang gudang yang luas dan besar sesuai untuk kemudahan logistik, pergudangan dan pengeluaran.
Itu adalah tambahan kepada ciri reka bentuk terkemuka industri seperti ruang iklan khas serta lantai yang fleksibel. Kilang berkembar itu dijual dengan harga bermula daripada RM4 juta.
Sementara itu, Hamilton Industrial Park 1 menampilkan lot perindustrian pegangan bebas dengan keluasan tanah antara 1 hingga 9 ekar. Produk itu dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi, utiliti dan infrastruktur komunikasi dengan harga bermula daripada RM3 juta. – UTUSAN