KUANTAN: Seorang lelaki dan kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika meredah air di kawasan padang bola, berhampiran Bangunan UMNO, Mentakab di Temerloh dekat sini kira-kira pukul 3.15 petang semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kedua-dua mangsa dihanyutkan arus di kawasan berkenaan.
“Di awal kejadian, terdapat beberapa saksi yang melihat kejadian tersebut dan terus melaporkan kepada pihak polis.
“Menurut saksi kedua-dua mangsa cuba meredah air di kawasan padang bola tersebut dan kemudiannya hilang dibawa arus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Ismail berkata operasi menyelamat dilakukan dengan kekuataan lima anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dengan menggunakan sebuah bot.
“Operasi kali ini menggunakan teknik surface searching di lokasi kejadian dengan radius pencarian meliputi kawasan seluas 500 meter persegi.
“Setakat ini masih tiada penemuan dan operasi masih lagi diteruskan,” katanya. -UTUSAN ONLINE