SHAH ALAM: Dua daripada tiga beradik kembar yang tular membuat video Tik Tok antara 8,257 graduan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 secara janji temu tahun ini.
Hambal Aismat Bukhory dan Haikal Ajmal yang berusia 26 tahun menerima ijazah masing-masing di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam di sini, semalam.
Aismat menamatkan pengajian bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam manakala Ajmal pula dalam Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman.
Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, penganugerahan Diploma dan Ijazah yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 itu dijadualkan berlangsung selain UiTM Shah Alam mulai semalam hingga 16 Disember depan.
Katanya, sidang konvokesyen janji temu itu sudah dijalankan di lapan kampus cawangan universiti berkenaan sejak Disember 2020 hingga Januari lalu.
“Bagi tiga sesi terakhir penganugerahan itu, jumlah graduan adalah seramai 7,004 orang (UiTM Shah Alam), 709 (UiTM Sarawak) dan 544 (UiTM Sabah).
“Dua sesi konvokesyen akan dijalankan di UiTM Sarawak dan Sabah antara 20 hingga 29 Disember ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aismat, Ajmal dan seorang lagi kembar mereka, Iqbal Amzar pernah tular di media sosial menerusi video Tik Tok yang memaparkan keunikan mereka berpakaian sama sehingga mencuit hati netizen.
Iqbal sebelum ini turut berjaya menggenggam Ijazah Kejuruteraan Awam UiTM dalam konvokesyen terdahulu.
Dalam pada itu, tambah Roziah, sesi berkenaan merupakan kesinambungan format konvokesyen yang dijalankan di semua cawangan UiTM.
“Graduan daripada semua fakulti dalam seluruh sistem UiTM akan memilih tempat dan tarikh janji temu yang diberikan.
“Mereka akan menghadiri sesi yang dipilih mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya.
Pada 29 September tahun lalu, UiTM mengumumkan julung kalinya menggunakan kaedah penganugerahan secara janji temu kepada graduan universiti itu.
Menerusi penganugerahan itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakamkan gambar kenangan dan akan menerima skrol serta transkrip seperti istiadat konvokesyen secara konvensional.
Graduan akan membuat janji temu secara atas talian dan hadir bergilir-gilir mengikut tarikh dan lokasi yang dipilih mereka. -UTUSAN ONLINE