PUTRAJAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini terus gah apabila mengekalkan kejuaraan Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 dalam kategori bahasa Melayu.
Ini merupakan kemenangan kali kelapan IPT berkenaan sejak pertandingan berprestij itu mula diperkenalkan pada 1995 selain diulanginya pada 1999, 2001, 2007, 2016 dan 2019.
UIAM yang bertindak sebagai pembangkang telah berjaya menyakinkan majoriti tujuh juri pertandingan itu untuk menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) selaku kerajaan.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan turut disaksikan Pengerusi Debat Diraja IPT 2021, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.
Pasukan UIAM diketuai oleh Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, trofi, sijil serta buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Pertandingan bahas ala Parlimen Asia edisi ke-22 kali ini dihoskan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dianjur bersama Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum).
Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan akhbar rasmi dalam pertandingan yang melibatkan 42 pasukan daripada 23 IPT serta dibahagikan kepada kategori bahasa Melayu dan Inggeris.
Semalam, UIAM turut menjuarai kategori bahasa Inggeris buat kali ke-11 menewaskan musuh tradisinya, Universiti Malaya dalam pusingan akhir yang turut diadakan di Hotel Zenith di sini.
Lebih membanggakan, untuk kategori bahasa Melayu pada hari ini, pendebat kedua UIAM, Muhammad Ilham Hafiz Azmi dinobatkan sebagai pembahas terbaik peringkat akhir tersebut.
Turut serta ialah pendebat ketiga, Muhammad Wafi Anwar Roslan dan pembahas simpanan, Muhammad Aqil Mujahid Mukhtar dengan kesemua mereka merupakan pelajar undang-undang.
Usul yang ditolak mereka ialah ‘Sudah Tiba Masanya ASEAN Meninggalkan Dasar Berkecuali.’ Unisza pula melakar sejarah kerana julung kali memasuki peringkat akhir debat berprestij itu.
IPT itu yang diketuai Muhammad Zulzarif Mohd. Zakuan sebagai perdana menteri, meraih hadiah berupa wang tunai RM3,000 selain trofi naib juara pertandingan dan buku sumbungan DBP.
Beliau dibantu timbalan perdana menterinya iaitu Mohd. Izzudin Kamarulzaman, pendebat ketiga selaku Ketua Whip, Mohd. Zulhanif Anas dan simpanan, Muhammad Izzat Azfar Amirawa. -UTUSAN ONLINE