Covid-19: Jangan alpa, rakyat tentukan PKP dikenakan semula atau tidak - PM - Utusan Malaysia

Covid-19: Jangan alpa, rakyat tentukan PKP dikenakan semula atau tidak – PM

ISMAIL SABRI Yaakob memukul gong pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Bera, Pahang. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya jangan alpa di sebalik penurunan kes Covid-19 pada angka 4,000 lebih ketika ini kerana negara belum berjaya mengekang penularan wabak pandemik tersebut. 

Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana keadaan belum selamat ekoran penularan varian baharu Omicron pada ketika ini. 

“Waktu saya umum PKP 1.0, hanya 347 kes dan kita beri janji kepada rakyat apabila kita buka negara kita tidak akan tutup semula membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, sebab itulah yang boleh memastikan PKP tidak dikenakan semula adalah kita sendiri iaitu mematuhi setiap SOP diperkenalkan.

“Jadi kita bimbang, kita sudah kata kerajaan janji tidak akan ada PKP lagi tetapi kalau kes meningkat sukar untuk kita mengekalkan keadaan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. 

Ismail Sabri berkata, peningkatan kes yang berlaku di luar negara seperti England yang merekodkan sehingga 70,000 kes sehari disebabkan kegagalan pematuhan SOP perlu dijadikan pengajaran.

Beliau berkata, selain pelaksanaan vaksin, pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal perlu terus diamalkan di seluruh negara bagi memastikan kes Covid-19 yang kini merekodkan purata 4,000 kes terus menurun.

Sementara itu beliau berkata,  pelaksanaan vaksin berjaya dilaksanakan di negara ini apabila mencapai 97.2 peratus individu yang menerima dua dos suntikan sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terbaik dalam pemberian vaksin Covid-19.

Katanya, pemberian vaksin kepada golongan muda berusia 12 hingga 18 tahun juga  dilaksanakan dengan 86 peratus individu telah menerima dua dos suntikan selain suntikan dos penggalak giat dilakukan pada masa ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya