PUTRAJAYA: Individu yang terlepas tarikh janji temu bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 disarankan menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk didaftarkan dalam senarai menunggu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penerima dos penggalak menerima maklumat mengenai tarikh janji temu melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi MySejahtera dalam usaha mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak ini.
“Masyarakat perlu sentiasa cakna dengan pemakluman di telefon masing-masing agar tidak terlepas tarikh janji temu yang diberikan dan menyatakan sama ada bersetuju untuk menerima dos penggalak atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, pemberian dos penggalak Covid-19 diluluskan sejak November lalu, dimulakan dengan kelompok tertentu yang menjadi keutamaan.
Katanya, ini seperti individu berusia 40 tahun dan ke atas, individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi, penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan individu dengan keperluan ke luar negara.
Setakat ini seramai 22,788,835 individu bersamaan 97.3 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 manakala jumlah kumulatif dos penggalak kini 3,787,928 orang. -UTUSAN ONLINE