PETALING JAYA: Terbitan agregat Cagamas Berhad pada 2021 meningkat sebanyak 65 peratus tahun ke tahun kepada RM19.2 bilion, iaitu terbitan tahunan tertingginya sejak 2002.
Jumlah tersebut dicapai selepas perbadanan gadai janji negara itu mengumumkan terbitan agregat Kertas Komersial Konvensional (CCP) tiga bulan terbaharunya bernilai RM900 juta.
Katanya, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian pinjaman perumahan daripada sistem kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, syarikat berbesar hati dapat mengakhiri tahun ini dengan satu lagi terbitan yang berjaya.
“Kami berharap 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik kerana dunia menuju ke arah pemulihan ekonomi meskipun dengan kemunculan varian Omicron baru-baru ini, yang mungkin menimbulkan risiko penurunan kepada pemulihan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Cagamas, harga CCP tersebut adalah pada kadar penanda aras Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan ditambah tiga mata asas (bps), berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh penentuan harga, mewakili tebaran 24 bps melebihi Bil Perbendaharaan Malaysia.
Jelasnya, kertas-kertas berkenaan yang akan ditebus apabila tempoh matang, adalah obligasi tidak dijamin syarikat itu dan pada kedudukan setara dalam kalangannya serta obligasi lain seumpamanya.
“Ia akan disenaraikan dan diniagakan di bawah sistem urus niaga sekuriti tanpa skrip,” katanya. -UTUSAN