BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kepentingan rakyat dan memulihkan ekonomi negara kesan penularan wabak Covid-19 menjadi keutamaannya sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
Perdana Menteri berkata, ia masih belum selesai dan meminta semua pihak bersabar dan memberikan ruang kepadanya melaksanakan tugas tersebut.
Beliau berkata, ia juga bukan kerana mahu kekal lama pada jawatan disandangnya ketika ini, tetapi, demi tugas utama menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya dan negara.
“Sebab itu saya kata sabar dulu, bersedia atau tidak kita ini (UMNO). Kita bertanding perlu menang, syarat untuk menang kita perlu bersedia. Ada beberapa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menyatakan kepada saya mereka belum bersedia sepenuhnya. Kalau masuk perang akan bawa masalah jika belum bersedia.
“Melaka (Pilihan Raya Negeri) kita menang, tahniah Melaka tapi Melaka tidak boleh dijadikan model ataupun penanda aras kepada UMNO untuk menang PRU-15, undi popular kepada UMNO di Melaka meningkat hanya satu peratus sahaja. Kita beruntung kerana orang parti lain tak keluar, pengundi Cina hanya 50 peratus dan keseluruhan keluar 65 peratus sahaja, itu kelebihan kita di Melaka.
“Sebab itu saya kata Melaka tak boleh jadi model, kalau PRU-15 kita jaga kita. Orang Bera akan jaga Bera, kita tak akan turun untuk bantu tempat lain sebagai mana PRN Melaka. Sebab itu saya lihat perkara ini (bubar Parlimen) perlu dilihat dengan lebih teliti, sebelum umum sesuatu kita kaji dulu, buat kajian terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan sebagai berkata, PRU-15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Mohamad Hasan berkata, perkara itu juga telah disuarakan beliau kepada Perdana Menteri, sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka pada 20 November lalu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, banyak kerja perlu dilaksanakan sebelum parlimen dibubarkan terutama membabitkan kestabilan politik negara.
“Kalau politik tak stabil tidak ada siapa yang akan datang ke negara kita. Jadi atas titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu selepas saya menjawat jawatan Perdana Menteri, saya perlu memastikan kestabilan politik dalam negara,” katanya.
Sejurus itu Perdana Menteri berkata, pelbagai perkara dilaksanakannya termasuk memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) serta konsep Keluarga Malaysia.
Selain itu beliau berkata, pembentangan Bajet 2022 memberikan kegembiraan kepada rakyat menerusi pelbagai insentif yang diumumkan, jika PRU-15 diadakan tahun depan, kerajaan tidak boleh melaksanakan bajet berkenaan.
Ismail Sabri dalam pada itu berkata, pembubaran Parlimen adalah kuasa penuh Yang di-Pertuan Agong dan jangan ada sesiapa cuba mengganggu kuasa prerogatif Seri Paduka.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, mana-mana parti politik berhak memberikan pandangan berhubung perkara itu dan perlu dihormati.
“Tapi dari segi Perlembagaan, katakan semua hendak pilihan raya, kita terpaksa bincang dalam Kabinet, Kabinet ketika ini terdiri dari pelbagai parti dan persetujuan parti lain perlu sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Katakanlah dalam mesyuarat Kabinet semua parti bersetuju (bubar Parlimen), tugas saya sebagai Perdana Menteri, saya bawa keputusan Kabinet dan bawa cadangan untuk bubar, belum lagi bubar dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa menolak atau menerima,” katanya. -UTUSAN ONLINE