SEREMBAN: Hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Negeri Sembilan turut dinaiki air dan berlaku banjir kilat.
Di Tampin, seramai 42 orang penduduk di Batu 6, Kampung Keru, diselamatkan anggota bomba dalam kejadian banjir, malam tadi.
Jurucakap bomba memaklumkan, hujan lebat berterusan telah menyebabkan enam buah rumah membabitkan enam keluarga ditenggelami air sehingga lebih satu meter.
Pasukan bomba telah bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 11.18 malam dan segera melakukan kerja-kerja penyelamatan.
Kesemuanya mangsa telah dipindahkan sementara di Surau Keru Hilir.
Kejadian banjir turut dilaporkan berlaku di Port Dickson termasuk di Kompleks Pengajian Darul Widad di Permatang Pasir, Linggi di sini.
Seramai 29 orang penghuninya terdiri daripada warga emas iaitu lima lelaki dan 24 wanita telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang dibuka di Balai Raya, Kampung Permatang Pasir.
Seramai 65 mangsa pula diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Jimah Lama dan kesemuanya telah dibawa ke pusat pemindahan di Balai Raya Jimah Lama yang dibuka pada pukul 1 pagi tadi.
Kejadian banjir kilat turut dilaporkan berlaku Ladang Tanah Merah, Kampung Jangging, Kampung Tanah Merah Site A dan Kampung Baru Sirusa.
Di Rembau pula beberapa kawasan turut dilaporkan dinaiki air iaitu di Kampung Sungai Raden, pekan Lubok Cina dan Kampung Bangsal Atap mukim Titian Bintangor, Kampung Pilin, dan Kampung Paya Lebar. -UTUSAN ONLINE