SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) secara rasminya menutup pusat penempatan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di sekitar Shah Alam, pada 26 Disember lalu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, penutupan pusat tersebut dibuat setelah semua mangsa banjir dibenarkan pulang semula ke rumah masing-masing.
“Sejak dibuka pada 19 Disember lalu, seramai 285 mangsa yang mendapatkan perlindungan di PPS tersebut.
“Ada juga mangsa yang terdiri daripada warga kerja UiTM tapi saya tidak mempunyai angka itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Mara (MITASA) di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.
Ketika ini menurutnya, UiTM sedang giat menjalankan kerja-kerja sukarelawan serta mengutip sumbangan daripada kakitangannya dan orang awam untuk diberikan kepada mangsa banjir.
Setakat ini, kata Mohd. Sazili, seramai 250 sukarelawan terdiri daripada kakitangan serta pelajarnya sedang giat melakukan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di beberapa kawasan di seluruh Selangor.
“Kita juga sudah melancarkan tabung sumbangan Khas Bantuan Banjir pada 18 Disember lalu dan setakat ini, kita berjaya mengutip sebanyak RM33,889.65 melalui tabung ini.
“Jumlah kutipan ini masih jauh daripada sasaran, iaitu kami mensasarkan untuk mengutip RM100,000,” katanya.
Menurut Mohd. Sazaili, orang ramai yang ingin membuat sumbangan kepada tabung itu boleh berbuat demikian di akaun Affin Islamic Bank Bendahari UiTM di nombor 105140003422. -UTUSAN ONLINE