PETALING JAYA: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) membuat pengecualian tertentu bagi menyegerakan penyelesaian tuntutan yang dibuat oleh mereka yang terkesan akibat banjir.
Pengerusinya, Antony Lee Fook Weng berkata, pengecualian itu termasuk mengetepikan keperluan laporan polis, menubuhkan talian hotline tambahan dan menyediakan pelaras kerugian di tempat kejadian.
“Kami sebenarnya sedang mengeluarkan beberapa keperluan tertentu. Sesetengah syarikat insurans juga boleh memberi wang tunai kecemasan dengan segera.
“Dalam sesetengah kes, sehingga RM5,000 (diberikan) bergantung kepada polisi (yang mendapat perlindungan banjir), tanpa perlu melalui proses penuh (tuntutan) kerana kami faham ketika ini, wang tunai diperlukan dengan segera, ” katanya dalam program The Brief terbitan Bernama TV hari ini.
Menurut Fook Weng, pihaknya juga menasihati pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans atau ejen masing-masing bagi membantu mereka dalam sebarang tuntutan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan beberapa kelewatan dalam menyelesaikan tuntutan, namun ia tetap cuba diselesaikan dalam masa terdekat.
“Penanggung insurans juga telah menggerakkan pasukan tuntutan mereka ke kawasan banjir yang terjejas berkuat kuasa serta-merta, katanya.
“Pemegang polisi juga dinasihatkan untuk menyemak semula perlindungan mereka kerana perlindungan banjir adalah pilihan di bawah polisi kebakaran dan kenderaan motor standard,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE