Banjir: 'Jangan salahkan anggota keselamatan' - Najib - Utusan Malaysia

Banjir: ‘Jangan salahkan anggota keselamatan’ – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon orang ramai agar bersabar dan tidak menyalahkan anggota keselamatan selepas timbul dakwaan sesetengah pihak yang melemparkan kecaman terhadap golongan itu dalam waktu bencana banjir.

Beliau berkata, pihaknya kagum dengan kesungguhan rakyat negara ini dalam membantu satu sama lain ketika berlakunya bencana. 

“Semangat ini bukan pertama kali dipamerkan kita semua. Tiada siapa boleh nafikan kesungguhan dan semangat rakyat Malaysia ini dalam aktiviti sukarelawan. Saya puji semangat anda!

“Apabila saya turun bersama pasukan saya untuk hantar bantuan, saya terserempak dengan ramai rakyat yang turun membawa segala jenis barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Kaya pahala rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Najib berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak melupakan pengorbanan semua anggota penyelamat yang bertungkus lumus sejak Jumaat lalu.

Katanya, ini kerana terdapat beberapa anggota di kawasan terjejas yang belum pulang ke rumah lagi sejak Jumaat lalu demi tugas, masih mampu tersenyum dan menggalas tugas serta amanah.

“Saya tahu ada yang marah marah dan mendakwa anggota keselamatan kita lewat tiba. Kita perlu faham, banjir kali ini serentak berlaku. 

“Contohnya di Selangor, di banyak kawasan penduduk maka kerahan anggota dan aset perlu diagihkan dan pasti akan berlaku kelewatan. 

“Kita perlu ambil kira pergerakan mereka yang terpaksa menempuh jalan putus, tanah runtuh dan sebagainya, namun mereka tetap berusaha untuk tiba di kawasan terjejas.

“Saya diberitahu ada yang turut menengking anggota keselamatan ini. Saya harap anda semua bersabar kerana mereka sedang melakukan yang terbaik dengan kemampuan paling tinggi. 

“Ucapkan terima kasih pada mereka kerana anggota keselamatan ini sedang melakukan yang terbaik untuk kita semua. Itu sahaja yang saya pohon dari anda,” jelasnya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya