Banjir: Aset agensi penyelamat perlu ditambah - Utusan Malaysia

Banjir: Aset agensi penyelamat perlu ditambah

ADNAN Mat menandatangani poster MITASA sebagai simbolik perasmian mesyuarat agung kesatuan itu di UiTM Shah Alam, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan dinasihatkan menambah aset agensi penyelamat bagi memastikan operasi menyelamat mangsa banjir dapat dijalankan lebih baik pada masa hadapan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, hal ini perlu dilakukan sebagai persediaan bagi agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan operasi ini dengan lebih berkesan. 

“Kejadian banjir di beberapa negeri minggu lalu menjadi satu pengajaran berguna kepada Kerajaan Persekutuan supaya menambah aset seperti bot, kenderaan masuk air (kenderaan amfibia) dan lain-lain lagi.

“Saya dimaklumkan bahawa aset beberapa agensi ini tidak ditambah sejak tahun 2018 dan diharap Kerajaan Pusat dapat menambah peruntukan bagi membeli aset ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Mara (MITASA) di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Banjir besar yang berlaku serentak di beberapa lokasi di beberapa buah negeri minggu lalu memperlihatkan keperluan kerajaan menambah aset agensi keselamatan.

Hal ini dapat dilihat apabila terdapat mangsa lemas yang gagal diselamatkan akibat banjir yang berlaku dan ditambah kelewatan pasukan keselamatan bertindak ketika bencana terjadi.

Dalam pada itu, Adnan mempertahankan anggota penyelamat yang melakukan kerja menyelamat ketika insiden banjir yang dikecam segelintir netizen yang mengatakan mereka lambat membuat kerja.

Menurutnya, agensi terbabit telah melakukan operasi menyelamat dengan pantas apabila berlakunya bencana itu, sekaligus menepis dakwaan kumpulan ini.

“Kita boleh baca di beberapa portal berita yang mana ada beberapa anggota agensi ini mendahulukan kerja mereka, walaupun rumah mereka sendiri dinaiki air banjir.

“Jadi, saya harap, netizen berhenti mengecam mereka dan sebaiknya tunjukkan sedikit penghargaan kepada agensi-agensi ini,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya