Azman Mokhtar dilantik Pengerusi Tabung Haji baharu - Utusan Malaysia

Azman Mokhtar dilantik Pengerusi Tabung Haji baharu

TAN SRI AZMAN MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Azman Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pelantikan beliau itu tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang mana beliau dan Tabung Haji bertanggungjawab mentadbir segala yang berkenaan dengan urusan jemaah haji. 

Menurut beliau, Azman juga bertanggungjawab ke atas tadbir urus korporat termasuk hala tuju pembangunan strategik Tabung Haji. 

Azman menggantikan Tan Sri Md. Nor Yusof yang melepaskan jawatan itu berkuat kuasa 15 Oktober lalu.

Dilahirkan pada 23 Januari 1961, Azman berpendidikan tinggi Diploma Siswazah dalam Kajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kursus Sarjana Falsafah dalam Kajian Pembangunan (Kolej Darwin, Universiti Cambridge United Kingdom) melalui Biasiswa Chavening.

Sepanjang karier, beliau berpengalaman luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat, antaranya sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Pengerusi Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi Axiata Group Berhad.

“Beliau terlibat dalam persidangan kebangsaan seperti Majlis Pemulihan Negara, Majlis Kemakmuran Bumiputera dan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama. 

“Beliau juga merupakan Felo Pelawat Terhormat Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada masa sama, Idris mengucapkan tahniah kepada Azman atas pelantikan berkenaan dan mendoakan agar Allah SWT sentiasa memandu setiap gerak kerja yang dilakukan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya