PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan komited membantu Pihak Berkuasa Awam dalam menyelamatkan mereka yang terlibat dalam banjir.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan, ATM meletakkan keselamatan rakyat terutama mangsa banjir sebagai keutamaan untuk memastikan sebarang usaha melibatkan pengurusan bencana banjir ini dapat dikoordinasikan secara tersusun dan berkesan.
Katanya, kini bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana ini.
“Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.
“Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep Whole Of Government Approach bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dapat digembleng secara bersama dan berkesan.
“Sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas Jeneral Affendi, ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya membantu Pihak Berkuasa Awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terutamanya usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.
“Pada masa yang sama, mangsa-mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi yang dilaksanakan serta kesejahteraan dan keselamatan semua,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE