ANGKA 73 calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) dicampur 15 calon lagi dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), sudah jadi 88 orang.
Dua parti ini menerusi kumpulan besar calon mereka cuba membangkitkan isu referendum, tepatnya – mahu bawa keluar Sarawak dari Malaysia. Bukan satu gerakan subversifkah?
Kalau diikutkan cakap Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) macam tak kisah untuk alunkan dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak ke-12 ini. Nadanya serius, sedangkan akibatnya cukup buruk.
Ini sehinggakan Utusan Malaysia ‘terpinga-pinga’ selepas menemu bual Presiden PBK yang juga calon Batu Lintang, Voon Lee Shan, Selasa lalu. Esoknya, keluar tajuk “Misi Aneh PBK”. Bukan sahaja Lee Shan, nada Presiden Aspirasi, Lina Soo sama sahaja.
“Usul referendum ini akan kami bawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Bagaimanapun pendirian Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada akhbar ini cukup jelas: “Dia (Lee Shan) ni dulu dari DAP, kata MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) tidak sah. Sedangkan jawapannya, Sarawak sudah pun bawah sovereign (kedaulatan) Malaysia, malah perjanjian ini juga dipantau PBB,” tegas Abang Jo kelmarin.
Hakikatnya, bibit-bibit cuba memecahbelahkan Persekutuan yang dibawa dalam kempen-kempen pilihan raya khususnya di Sarawak perlu dikekang.
Di Sabah semasa PRN September tahun lalu, tak kedengaran pula ‘isu bawa keluar Sabah dari Malaysia’ dimainkan parti-parti tempatan. Kritikan terhadap tuntutan Filipina terhadap Sabah itu ada.
Perjuangan untuk Sabah for Sabahan atau Sarawak for Sarawakian itu sekurang-kurangnya boleh diterima lagi. Setidak-tidaknya suatu semangat nasionalisme untuk kebaikan bangsa bersaing meningkatkan kualiti diri.
Cuma yang dibimbangi satu sahaja – parti-parti bersuara lantang ini sasarannya bukan untuk menang pilihan raya. Tetapi cuma hendakkan supaya sentimen berbahaya ini diserap berdikit-dikit dalam kalangan orang muda.
Dan sesekali hinggap juga ke benak fikiran keperluan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam menangani isu tertentu dalam masa sesuai.
Barangkali parti-parti ‘bernada subversif’ ini tidak menang dalam PRN12 kali ini atau pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Tapi, jangan alpa, masanya mungkin tiba jua pada PRN13 atau selewat PRU16. Apa lagi selepas penyertaan agresif Undi18.
Ingat! api bila kecil jadi kawan, apabila besar jadi lawan. – UTUSAN