PUTRAJAYA: Kerajaan melanjutkan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) yang sepatutnya akan luput tempoh pada esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan disambung mulai 1 Januari sehingga 22 Oktober 2022.
Lanjutan berkenaan, ujar beliau, ia melibatkan penguatkuasaan di Bahagian II (ketidakupayaan melaksanakan obligasi kontraktual) dalam akta tersebut yang turut dirujuk sebagai Akta 829.
“Ini selaras peruntukan subseksyen 5(2) akta itu dengan menteri boleh melalui perintah disiar dalam warta bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Pelanjutan ini jelas beliau, adalah bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan Akta 829 yang efektif dan progresif selaras dengan pindaan yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini.
Pindaan dibentangkan timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu malah telah diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Disember dan Dewan Negara pada 22 Disember lepas sebulat suara.
Ia melibatkan peruntukan d bawah beberapa kementerian atau agensi iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Sumber Manusia.
Langkah ini kata Wan Junaidi, bukti komitmen kerajaan mengurangkan impak perundangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi bendung penularan wabak.
“Justeru, pindaan ini juga merupakan suatu ‘temporary relief’ daripada pihak kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab kontraktual bagi suatu tempoh yang ditetapkan,” tambah beliau.
Pada masa sama, pindaan subseksyen 9(1) Bahagian II akan membantu inisiatif pengantaraan di Pusat Mediasi Covid-19 (PMC) iaitu sebuah agensi kerajaan dibentuk pada November 2020.
Melalui pindaan itu ujarnya, semua jenis kontrak komersial yang terkesan akibat PKP untuk kekang wabak, boleh dirujuk kepada PMC berbanding sebelum ini cuma ada sembilan kategori.
Oleh itu, pelanjutan tempoh bertujuan menyokong inisiatif PMC yang tidak mengehadkan pihak berkontrak menyelesaikan pertikaian seperti dinyatakan dalam jadual Seksyen 7 Akta 829.
PMC turut bekerjasama dengan Majlis Peguam Malaysia serta Badan Peguam Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan perkhidmatan mediasi untuk individu dan syarikat yang terkesan.
“Setakat ini, sebanyak 50 firma guaman telah bersetuju dengan ‘mediate first pledge’ sebagai langkah pertama bagi penyelesaian pertikaian yang timbul kerana PKP,” jelas Wan Junaidi.
Akta 829 tambah beliau, telah pun diwartakan pada 23 Oktober 2020 dengan digubal meliputi pengubahsuaian 14 akta dan ordinan peringkat persekutuan di bawah kementerian berkaitan. -UTUSAN ONLINE