PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah di Pekan, Pahang hari ini.
Menurut Istana Negara, berangkat sama ke majlis perasmian itu adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
“Usai majlis perasmian, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit-pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis itu.
“Pesakit-pesakit terdiri daripada golongan M40 dan B40 di daerah Pekan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Istana Negara memberitahu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 11 pagi disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.
“Turut hadir, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman; Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain,” ujar Istana Negara.
Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah Pekan itu merupakan pusat rawatan ketiga yang ditubuhkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) selepas pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama di Cheras pada 7 Ogos 2019 dan yang kedua di Setiawangsa, Wilayah Persekutuan pada 12 Ogos 2020. – UTUSAN ONLINE