PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Raub, Pahang hari ini.
Lawatan itu bagi menzahirkan keprihatinan baginda terhadap rakyat yang ditimpa musibah.
Seri Paduka mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Ulu Sungai, PPS Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, PPS Dewan Kampung Sega Lama, PPS SK Muhammad Jabar, Dong dan PPS Balairaya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di daerah Raub, Pahang hari ini.
Baginda turut berkenan melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Ulu Sungai, PPS Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, PPS Dewan Kampung Sega Lama, PPS SK Muhammad Jabar, Dong dan PPS Balairaya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong itu adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Istana Negara, keberangkatan pertama Seri Paduka di PPS iaitu di SK Ulu Sungai pada pukul 12 tengah hari disambut oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.
Kata Istana Negara, sejurus ketibaan, Seri Paduka berkenan menerima persembahan taklimat oleh Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail.
“Pada lawatan hari ini, Seri Paduka berkenan meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di lima PPS tersebut.
“Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 277 keluarga yang ditempatkan di lima PPS tersebut dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir.
“Keberangkatan Seri Paduka mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira masa, tempat dan cuaca,” kata Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Tambah Istana Negara, dalam lawatan di PPS SK Ulu Sungai, Seri Paduka menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang membantu menguruskan mangsa banjir.
Katanya, Seri Paduka juga menyeru agensi-agensi kerajaan yang berkaitan tidak leka dan lebih proaktif melaksanakan tanggungjawab menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, termasuk mangsa banjir di pedalaman.
“Seri Paduka turut mengulangi titah supaya ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku dan semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
“Seri Paduka turut menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir dan menasihati rakyat mematuhi semua arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.
“Seri Paduka mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia tidak berlarutan dan segera berakhir,” kata Istana Negara. -UTUSAN ONLINE